Friday, August 14, 2009

Ramadhan bulan mengasah gergaji

Ramadhan ini adalah bulan mengasah gergaji.

Gergaji yang tumpul kerana terlalu banyak mengasah. ‘Pengasah’ juga perlu diasah untuk kebaikan bersama.

Justeru, saya bertekad untuk mendegilkan diri, menolak kebanyakan permintaan ceramah di bulan Ramadhan ini. Kebanyakan jemputan yang diterima hanyalah untuk kuliah Zohor. Manakala ceramah di sebelah malam dan subuh, saya terpaksa tolak. Maafkan saya.

Bagi adik-adik di Jepun, Makassar, dan MOC di Jelebu, mereka menyaksikan sendiri ‘keletihan’ saya yang sudah mencapai kemuncaknya di bulan Syaaban (Ogos) yang lalu. Ada ketikanya, saya terpaksa berhenti seketika semasa berceramah untuk menelan air liur dan menarik nafas… antara simptom keletihan yang melangkaui keupayaan.

Saya juga kehilangan ruang untuk membaca dan menambah bahan. Penceramah atau penulis yang lebih banyak berceramah dan menulis berbanding membaca, akan bangkrap idea segera. Ia sesuatu yang serius!

ULAMAK SILAM

Saya teringat kepada perilaku al-Imam al-Zuhri yang meninggalkan aktiviti pengajian Hadith beliau di bulan Ramadhan, untuk memfokuskan kepada pembacaan al-Quran. Begitu juga perihalnya dengan Sufyan al-Thauri yang meninggalkan semua aktiviti yang lain untuk membaca al-Quran.

Kesemua ini adalah proses sharpen the saw, yang dilakukan sebagai Sunnatullah di sebalik Syariatullah untuk ISTIQAMAH. Bahkan, izinkan saya memetik kata John F. Kennedy, bahawa “Time to repare the roof is when the sun is shining!”

“Sediakan payung sebelum hujan”, kata orang tua-tua kita. Jadikan Ramadhan sebagai bulan mencari bekal untuk 11 bulan yang berikutnya.

SURAU AL-NAIM

Justeru, hanya satu dua permintaan sahaja yang saya penuhi, khususnya di surau tetap saya seperti Surau al-Naim di Seksyen 5 Wangsa Maju.

Untuk tidak membantutkan perkongsian dan agenda ‘memberi’, maka di sini saya kongsikan tazkirah pendek yang saya sampaikan malam tadi di Surau al-Naim berkaitan dengan Mekanisma Ramadhan.

muat turun rakaman ceramah di sini

Uniknya di Surau al-Naim, pada dua minggu pertama Ramadhan, tazkirah hanya diadakan pada hujung minggu, manakala pada separuh kedua Ramadhan, tazkirah diadakan setiap hari. Tazkirah ini dilakukan selepas selesai solat Tawarih dan Witir atau dalam erti kata yang lain, selepas selesai semua agenda utama malam-malam Ramadhan.

Somehow, saya selesa dengan cara ini. Tazkirah (yang selalunya menjadi ceramah dari segi kepanjangannya) tidak dilakukan di tengah-tengah solat, misalnya selepas rakaat ke-4 atau pun di antara Tarawih dan Witr. Kaedah ini bagus dilakukan jika pemberi-pemberi tazkirah berdisiplin menyampaikan pengisian mereka secara komprehensif dengan kadar masa yang ringkas lagi padat.

Akan tetapi, untuk tazkirah berkapasiti ceramah, ia menimbulkan keletihan bagi jemaah di masjid atau surau, apabila ‘terpaksa’ bersila selama satu jam, sebelum menyambung solat mereka.

Hal ini juga ada diulas oleh Ummu Saif yang turut menyertai saya ke Surau al-Naim semalam.

Selamat menghidupkan malam-malam Ramadhan.

0 kata-kata anda: