Friday, February 19, 2010

Tazkirah: Mandi Wajib

Pada 10 Febuari lalu, Majlis Usrah Pelajar Islam (MUPIS) telah mengadakan satu tazkirah bertajuk MANDI WAJIB bertempat di Surau At-Tholabah, Institut Professional Baitulmal (IPB). Alhamdulillah, pada malam tersebut, majlis ilmu tersebut telah berjalan dengan lancar dan dihadiri oleh pelajar-pelajar Aspura dan Aspuri dimana saudara Zaim Asadullah dan Muhammad Farhan menjadi ahli panel dalam majlis tersebut yang lebih berkonsepkan diskusi. Walau bagaimanapun, sedikit kesulitan terpaksa dihadapi oleh pelajar-pelajar kerana sistem pembesar suara mengalami sedikit masalah.



Ketika sesi tazkirah tersebut, saudara Zaim dan Farhan telah menerangkan dan merungkai dengan panjang lebar mengenai MANDI WAJIB. Bermula dari definisi mandi wajib, sebab mandi wajib, rukun mandi wajib dan sebagainya, pada pandangan saya telah sempurna diterangkan oleh saudara-saudara saya tersebut. Pelbagai pertanyaan dan persoalan timbul ketika sesi soal jawab dibuka. Alhamdulillah, kesemua pertanyaan yang diajukan telah dirungkai oleh saudara-saudara saya ini. Namun, ketika akhir sesi tazkirah ini terdengar sedikit rungutan dari pelajar yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh ahli panel. Mungkin pelajar-pelajar tersebut agak kurang jelas dengan jawapan yang telah diberikan, maklumlah tazkirah disampaikan secara lontaran suara tanpa menggunakan pembesar suara dan ia kurang jelas pada pemahaman mereka. Antara persoalan-persoalan yang ditimbulkan dan mungkin kurang jelas jawapannya pada pelajar-pelajar tersebut ialah:

1.Adakah perlu seseorang yang melakukan mandi wajib itu, membasuh sekali anggota yang telah dipotong atau tanggal dari badan seperti kuku dan rambut.

2.Adakah sah mandi wajib sekiranya meratakan air di kemaluan dengan cara menggosok dan menyentuh menggunakan tangan.

3.Adakah sah mandi wajib sekiranya tidak mengambil wuduk.

Dengan rasa rendah diri, izinkan saya memberikan lebih penjelasan mengenai persoalan ini. Saya bukanlah ahli didalam perkara-perkara fiqh, tetapi izinkan saya berkongsi ilmu yang telah saya pelajari untuk merungkai permasalahan ini.

1.Adakah perlu seseorang yang melakukan mandi wajib itu, membasuh sekali anggota yang telah dipotong atau tanggal dari badan seperti kuku dan rambut.

Kewajiban dalam mandi adalah membasuh seluruh anggota badan, termasuk rambut dan kuku. Akan tetapi, rambut atau kuku yang telah dipotong tidak lagi termasuk anggota badan, maka TIDAK WAJIB membasuhnya. Maksudnya, tanpa membasuhnya, mandi wajib seseorang adalah sah. Imam 'Atha' sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Bukhari, mengatakan: seorang yang junub diperbolehkan mencukur rambut dan memotong kuku dan tidak perlu dibasuh ketika mandi. Namun menurut Imam al-Ghazaly [dalam Ihya' Ulumuddin], seorang yang junub sebaiknya tidak memotong rambut dan kuku. Ini adalah kerana setiap anggota tubuh akan dikembalikan seperti semula pada hari kiamat nanti. Dikatakan, setiap rambut akan menuntut atas janabahnya. Dikalangan masyarakat Melayu, wanita yang haidh biasanya menyimpan rambut atau kuku yang terpotong untuk dibasuh ketika mandi wajib. Mungkin terjadi sedikit salah faham disini. Kalau rambut dan kuku yang terpotong akan dikembalikan lagi seperti semula, maka tidakkah pada hari kiamat nanti manusia akan berambut sangat panjang? Sebenarnya, apabila telah terpisah anggota tubuh dari badan, maka ia tidak lagi menjadi tanggungjawab seseorang untuk membasuhnya. Sebagai contoh, pesakit kencing manis yang dipotong kaki, adakah perlu dia menyimpan kaki yang dipotong untuk dibasuh ketika setiap kali wuduk? Ini pasti akan menyulitkan. Kesimpulannya: Seorang yang junub atau haid atau lainnya TIDAK diwajibkan membasuh rambut atau kuku yang terpotong kerana ia tidak lagi termasuk anggota badan dan ia terkeluar dari kewajipan untuk dibasuh dan tidak menuntut atas janabahnya. Bahkan sebelum mandi wajib, diperbolehkan mencukur atau memotongnya bagi memudahkan meratakan air.


2.Adakah sah mandi wajib sekiranya meratakan air di kemaluan dengan cara menggosok dan menyentuh menggunakan tangan.

Seperti yang kita sedia maklum, ada 3 rukun mandi wajib iaitu niat, membersihkan kotoran (najis) di anggota badan dan meratakan air di seluruh badan. Ingin saya tegaskan disini, mandi wajib yang tidak melanggar rukun tersebut, hukumnya adalah sah. Sekiranya menyentuh kemaluan untuk membasuh dan meratakan air, ia tidak membatalkan mandi wajib malah Rasulullah juga melakukan demekian- Aisyah RA berkata, Ketika mandi janabah, Nabi SAW memulainya dengan mencuci kedua tangannya, kemudian ia menumpahkan air dari tangan kanannya ke tangan kiri lalu ia mencuci kemaluannya kemudian berwuduk seperti wudhu` orang solat. Kemudian beliau mengambil air lalu memasukan jari-jari tangannya ke sela-sela rambutnya, dan apabila ia yakin semua kulit kepalanya telah basah beliau menyirami kepalnya 3 kali, kemudia beliau membersihkan seluruh tubhnya dengan air kemudian diakhir beliau mencuci kakinya. Perlu diingat, menyentuh kemaluan hanya akan membatalkan wuduk tetapi tidak membatalkan mandi wajib. Wuduk yang dimaksudkan ialah wuduk yang diambil sebelum mandi wajib. Ketika membasuh kemaluan tersebut, wuduk yang diambil diawala mandi wajib telah batal, tetapi lakukanlah mandi wajib sehingga selesai kerana mandi wajib masih sah. Tetapi, setelah selesai mandi wajib, ambillah wuduk semula kerana wuduk yang diambil ketika awal telah terbatal.


3.Adakah sah mandi wajib sekiranya tidak mengambil wuduk

Mandi wajib tanpa wuduk hukumnya SAH. Ini adalah kerana mengambil wuduk adalah sunat sahaja kerana mengikut cara mandi wajib Rasulullah. Tetapi, jika seseorang itu ingin menunaikan solat selepas mandi wajib, maka ambillah wuduk kerana tidak sah solat tanpa wuduk. Sekiranya kita tidak melakukan perkara yang terkeluar dari kewajipan berwuduk contohnya kita ingin tidur selepas mandi wajib, maka tiada wuduk pun tidak mengapa. Contohnya: zakaria ingin melakukan mandi wajib. Lalu didalam bilik air, dia berniat mandi wajib. Lalu dia menghilangkan kotoran dibadannya terlebih dahulu, kemudian meratakan air diseluruh badannya. Setelah selesai meratakan air diseluruh badan, Zakaria menganggap mandi wajibnya selesai dan tanpa berwuduk, dia terus masuk ke bilik tidur dan terus terlelap. Apakah hukum dalam contoh ini???? Hukum mandi wajib yang dilakukan Zakaria adalah sah. Ini adalah kerana Zakaria telah menyempurnakan semua rukun mandi wajib iaitu niat, membersihkan kotoran dan meratakan air seluruh badan. Mandi wajib yang dilakukan telah sempurna walaupun tanpa wuduk kerana selepas mandi wajib, Zakaria ingin tidur dan tidur tidak mewajibkan seseorang itu berwuduk. Namun sekiranya Zakaria ingin solat selepas mandi wajib, maka perlulah ia berwuduk kerana solat memerlukan kita berwuduk.

Sekiranya apa yang saya utarakan ini salah, tegurlah dan nasihatilah saya. Yang baik hadiah dari ALLAH, yang cela adalah kesilapan saya. Wallahua’lam. Assalamualaikum.

0 kata-kata anda: